Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Mac. - Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan lebih 400 kakitangan dari BIBD dan para pelajar BIBD ALAF yang merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) utama BIBD.
Majlis berkebajikan berkenaan adalah bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak bagi mengukuhkan lagi semangat muhasabah, kemasyarakatan dan ihsan pada bulan yang penuh barakah ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara di sini, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi BIBD.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri; Penolong Mufti Buhuth di Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof; dan Pengarah BIBD serta Ahli Lembaga Pengarah BIBD yang lain; Badan Penasihat Syariah BIBD termasuk Pengerusi dan ahli pengurusan kanan dan kakitangan BIBD.
Sejurus selesai menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh kakitangan BIBD dan para pelajar BIBD ALAF bermula dari Surah Ad-Dhuha.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri juga menyampaikan cenderamata kepada para pelajar sebagai tanda penghargaan atas pencapaian dan komitmen mereka.
Majlis seumpama berkenaan bukan sahaja sebagai renungan rohani sepanjang bulan yang mulia, tetapi juga sebagai peringatan tentang nilai dan tanggungjawab BIBD sebagai peneraju institusi kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam.
Dengan memupuk semangat perpaduan, belas kasihan dan tujuan bersama, acara berkenaan merangkumi inti pati Ramadan, memperkukuh iman, membina komuniti, dan mengukuhkan komitmen BIBD yang bukan sahaja keperluan kewangan, tetapi juga kesejahteraan rohani dan sosial negara.